Kuala Lumpur: Pihak Astro Warna hari ini mengumumkan rancangan Konsert Juara Parodi minggu kelima yang akan disiarkan secara langsung melalui saluran tersebut pada Jumaat ini akan ditukar kepada konsert ‘tribute’ bagi mengenang pelawak popular Allahyarham Yussry Edo atau Yus Jambu yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Selayang di sini, Ahad lalu. Pengurus Saluran Astro Warna Emarina Kamal berkata, pihak Astro telah bersepakat untuk menggantikan rancangan Juara Parodi dengan konsert ‘tribute’ pada malam itu dan tidak ada pertandingan seperti kebiasaannya. "Kami sedar ramai masih terkejut dengan pemergian Yus. Ada yang masih beremosi dan ini mungkin tidak bagus jika kami meneruskan pertandingan. Apa yang dilakukan ini juga sebagai hadiah terakhir daripada teman artis untuk arwah,” katanya dipetik laporan Harian Metro.
Menurut Emarina, pada malam tersebut 10 kumpulan yang bertanding akan mengadakan persembahan khas mengenangkan pemergian arwah Yus Jambu yang merupakan anggota kumpulan Kobis pedas yang turut disertai rakannya Tauke dan Misha Omar. Sembilan lagi kumpulan yang bertanding ialah Abang Face, Selamba Blur, Mawi & The Loyar, Righthanded, Juri, Black Dot Chey, Cuba Teka, Skru dan Senaman.
Juara Parodi menggabungkan penyanyi dan pelawak popular antaranya Black, kumpulan Bocey, Shuib Sepahtu, Rahim Sepahtu, Mark Adam, WARIS, Zahid, Tomok, Mawi, Azlee Senario, Syuk SYJ dan Joey. Berita ini juga turut disampaikan melalui rancangan Meletop malam tadi oleh Afdlin Shauki melalui panggilan telefon yang dibuat oleh pengacara pada malam itu Neelofa dan Nabil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan