Tampil dengan filem pertama arahan sendiri, Mat Moto, aktor Pekin Ibrahim sebenarnya sedikit terkilan apabila terdapat sebuah lagi filem yang menggunakan judul sama dengan karyanya iaitu filem terbitan serta arahan pengarah prolifik, Ahmad Idham.
Lebih mengecewakan, Pekin atau nama sebenarnya Mohd. Iznan Ibrahim, 34, memberitahu, dia sudah menguar-uarkan tentang pembikinan filem tersebut lebih dua tahun dahulu di laman sosial dan media massa, tetapi boleh timbul permasalahan seperti itu.
Dek persamaan tersebut, terdapat banyak komen yang mengatakan Pekin memplagiat judul atau karya Ahmad Idham memandangkan filem pengarah itu terlebih dahulu menjengah pawagam pada penghujung tahun ini berbanding ‘bayi sulungnya’ itu pada 14 Januari hadapan. Pekin juga mengatakan, dia tidak meniru judul mana-mana filem. Ketika dia mendaftar di Finas untuk memulakan penggambaran filem ini dahulu, mereka memberitahu tiada lagi judul serupa telah didaftarkan. Sebab itulah dia memilih judul ini untuk karya pertamanya. Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, timbul isu mengatakan ada dua filem menggunakan tajuk serupa. Itu yang menghairankan.
Tambah Pekin lagi, setelah memikirkan semula, dia mengambil keputusan untuk menambah slogan di bawah judul filemnya iaitu Mat Moto - "Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit" bagi membezakan kedua-dua karya itu. Ahmad Idham juga telah membuat penambahan terhadap judul filemnya iaitu Mat Moto "Di Sini Kami Bersatu". Diharap, ia tidak lagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat filem Melayu tanah air.
Pekin juga berkata, "saya percaya, setiap filem atau cerita ada kekuatan masing-masing. Jalan cerita atau skrip filem ini dihasilkan saya sendiri berdasarkan pengalaman peribadi. Saya yakin, ia mampu menarik minat penonton untuk menontonnya di pawagam walaupun filem arahan Idham terlebih dahulu menjengah pawagam". Setakat ini, dia baru menonton trailer filem Mat Moto Di Sini Kami Bersatu dan melihat plot penceritaan berbeza dipersembahkan berbanding Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit.
Dibintangi Falisha Crossley, Shaheizy Sam, Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Datuk Rosyam Nor, Cat Farish dan Pekin sendiri dan akan ditayangkan pada 14 Januari 2016 tahun hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan