PENAMPILAN dengan pasangannya Tauke menerusi kumpulan Jambu ternyata memberikan kelainan dalam dunia lawak tempatan. Idea yang dilemparkan oleh Yusry Edoo atau Pak Yus pada setiap persembahan seringkali tidak dijangkakan oleh penonton. Pertuturan dalam loghat utara juga menjadi penambah perisa dalam setiap persembahannya. Bersama-sama Tauke, persembahan lawak kumpulan Jambu bukan sahaja mencuit hati malah bersahaja dan spontan. Itulah yang menjadi kekuatan mereka. Pengalamannya dalam dunia teater digunakan sebaik mungkin pada setiap penampilan kumpulan Jambu. Ini terbukti kerana lawak mereka bukan lawak kosong.
"Lawak adalah seni’ telah terbukti melalui penampilan duo ini. Namun hiburan yang disajikan oleh Pak Yus hanya seketika. Pemergiannya pada malam 29 November lalu selepas mengadakan persembahan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur merupakan satu kehilangan buat industri seni tanah air. Pastinya Pak Yus akan sentiasa diingati dan dirindui keletahnya yang tidak jemu-jemu menghiburkan orang ramai.
Merajuk
Walaupun bergelar juara program Raja Lawak musim pertama pada 2007, nama Allahyarham tenggelam berbanding rakannya, Zizan dan Johan yang masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga pada program tersebut. Seakan-akan merajuk dengan industri ketika itu, Pak Yus kembali ke kampung kelahirannya di Perlis dan meneruskan tugas sebagai penari dan penggiat seni budaya di sana. Hampir tiga tahun Allahyarham berada dalam keperitan kerana tiada tawaran berlakon. Kecekalan anak jati Bintong ini untuk terus berkarya tetap ada sehingga watak sekecil pelakon tambahan pun sanggup diterimanya.
Pengalaman penulis dengan Allahyarham tidak banyak namun pertama kali bersua muka ketika sesi fotografi keluaran khas Aidilfitri Pancaindera tahun lalu, ada kisah menarik yang dikongsi oleh Allahyarham. Ketika sesi temuramah, Pak Yus yang sudah ketiadaan ibu dan bapa ini menjelaskan, kehidupannya amat perit sehingga kereta TD2000, hadiah kemenangan Raja Lawak terpaksa dijual. Jelasnya, ada seorang Cina yang membeli kereta tersebut dan memberinya sebuah Proton Waja. Dengan hasil jualan itu, dia ke Kuala Lumpur namun sekembalinya ke ibu kota nasib masih tidak menyebelahinya apabila kereta tersebut telah dicuri.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib Pak Yus sehingga program Maharaja Lawak Mega diperkenalkan dan ketika inilah nama Pak Yus dan Tauke mula menjadi sebutan ramai.
Mahu kahwin
Setelah semakin selesa dan stabil dengan kerjaya, tingkah laku Pak Yus tetap tidak berubah. Allahyarham menganggap semua yang diperoleh adalah rezeki yang telah ditentukan oleh Allah kepadanya. Ketika sesi temuramah itu juga Pak Yus mengakui yang dia diserang penyakit kencing manis. Tetapi tidak pernah memgambil ubat moden sebaliknya hanya mengamalkan beberapa ubat tradisional. Ubat itu telah menurunkan kandungan gula dalam darahnya dan boleh melakukan kerja seperti biasa.
Pak Yus juga menyatakan hasratnya untuk merakamkan lagu raya berbentuk regae dengan Tauke dan merancang untuk berumah tangga dalam tempoh beberapa tahun ini. “Sebenarnya calon sudah ada. Saya sekarang sedang kumpul duit. Maklumlah mahu bela anak orang bukan senang,” gurau Pak Yus kepada penulis.
Bukan itu sahaja, penulis turut mengetahui tentang sisi lain Pak Yus. Sememangnya Allahyarham seorang yang amat pemurah, Pak Yus juga merupakan seorang bapa saudara yang baik. Anak saudaranya iaitu anak kepada Allahyarham abangnya diberi keutamaan seperti anaknya sendiri. Jelasnya ketika itu, dia cukup mengerti bagaimana rasanya kehidupan tanpa ibu bapa. Tanggungjawab sebagai bapa kepada anak saudaranya itu dipikul sebaik mungkin malah apa sahaja keinginan anak saudaranya itu dituruti.
Masih segar dalam ingatan penulis ketika malam Hari Raya Aidiladha lalu apabila Pak Yus bertanyakan khabar dan menasihati supaya memandu berhati-hati ketika pulang ke kampung. Ternyata walaupun pertama kali berjumpa, Pak Yus seorang yang mudah mesra dan sememangnya seorang yang tidak sombong. Allahyarham Pak Yus disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nesam, Bintong, Perlis selepas Zohor pada 30 November lalu.
- Al-Fatihah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan