16 Disember 2015

Luahan Hati Siti Nordiana (Nana) Selepas digelar "Artis Kampung" dan Perkara yang Ramai Tidak Tahu Tentang Nana


“Saya pernah rasa tiada orang perasan yang saya sebenarnya masih ada dalam industri.” Itu antara keluhan juara Gegar Vaganza 2, Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana mengenai perjalanan kerjayanya. Pernah mengecapi kegemilangan sewaktu bersama rakan duetnya, arwah Achik sekitar tahun 90an, nyata panas tidak berterusan ke hujung. Sedar namanya kian menyepi, Nana berusaha untuk kembali ke persada seni dengan menghasilkan album, namun semuanya sia-sia.

“Saya berusaha untuk kembali tetapi radio ketika itu memilih untuk tidak memainkan lagu saya. Alasannya saya pun tidak pasti. “Kali terakhir saya menghasilkan album pada tahun 2011 berjudul Semakin Jelas. Kemudian saya menghasilkan single berjudul Tak Ada Cinta Sepertimu. “Lagu itu pun tidak dimainkan di radio. Itu yang buat saya sedih sedangkan saya berusaha untuk menaikkan kerjaya,” jelasnya.

Mengakui merajuk dengan keadaan yang melanda, membuatkan Nana cuba berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan menjual jubah. “Saya akui memang saya merajuk dengan apa yang terjadi sehingga merasakan diri ini sudah tidak ada lagi dalam dunia nyanyian. Nama Siti Nordiana itu sendiri sudah tiada,” luahnya. Nana mengakui, Gegar Vaganza 2 antara titik tolak yang menaikkan namanya kembali ke dalam arena seni suara, sekali gus membuktikan kemampuan vokalnya. “Ini ibarat peluang kedua buat saya dan sebenarnya, banyak tawaran yang saya tolak semata-mata untuk menyertai Gegar Vaganza 2. “Jadi, berbaloilah bila orang mula melihat kemampuan saya dalam bidang seni walaupun nama saya sudah dilupakan,” katanya.

Tidak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia nyanyian, jelas Nana, bidang nyanyian adalah utama baginya. “Saya akan terus menyanyi dan berusaha untuk terus membuktikan kemampuan saya,” jelasnya. Nama Nana semakin dikenali semula dan sudah pasti, kisah peribadinya juga akan menjadi tumpuan terutamanya bagi peminat baharunya. Menurut Nana, dia sendiri sudah bersedia untuk menghadapi semua itu yang dianggap lumrah dalam dunia hiburan tempatan.

“Saya sudah lama berhadapan dengan tumpuan masyarakat, cuma kalau boleh mahu anak, Rayyan membesar sebagai anak biasa tanpa dikaitkan dengan kerjaya seni saya. Kalau boleh saya juga tidak mahu dia terlibat dalam bidang seni. “Malah, dalam akaun Instagram juga, jarang saya muat naik gambar bersama dengan Rayyan,” katanya.

Nana sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pelakon drama, arwah Mohd Faizal Yusup pada 29 April 2006. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rayyan Nakhaie, lahir pada 21 Mac 2008. Tanggal 14 Septemper 2009, pasangan ini memilih untuk bercerai. Arwah Faizal bagaimanapun meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung. Semakin dikenali, Nana mengakui, kini ramai yang sudah mula menghubunginya kembali selepas lama tidak bertanya khabar. “Ramai lelaki yang menghubungi saya. Tidak dinafikan. Tetapi buat masa ini, nanti dululah. Banyak perkara yang perlu diuruskan,” katanya.

Meniti perjalanan Gegar Vaganza 2 daripada minggu ke minggu, ternyata ramai yang sudah meramalkan Nana bakal menjadi juara. Menyedari perkara itu, Nana akui ia memberi tekanan kepadanya ketika melakukan persembahan. “Ada yang berkata saya boleh rasa selesa, tetapi sebenarnya tekanan tinggi sebab penonton sudah letak harapan pada saya. “Kalau saya buat kesilapan sedikit pun, sudah pasti penonton dan juri akan perasan. Jadi, saya perlu kurangkan kesilapan, itu yang menjadi tekanan,” katanya.

Mengulas mengenai label penyanyi kampung yang diberi kepadanya, jelas Nana, mungkin sebab lagunya sebelum ini yang membuatkan dia dipanggil sebegitu. “Sebelum ini Nana banyak menyanyikan lagu-lagu leleh sehinggakan ramai panggil saya penyanyi kampung. “Tetapi lihatlah. Saya sudah buktikan penyanyi kampung juga mampu membuktikan kemampuan vokal tersendiri,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia mahu kekal dengan genre lamanya selepas ini, jelas Nana, dia juga mahu meneruskan genre muziknya sebelum ini. “Peminat ramai yang kenal saya dengan genre muzik sebelum ini. Jadi saya akan teruskan tetapi konsep muzik kini juga tidak saya ketepikan,” katanya yang turut dipilih sebagai pemenang untuk Persembahan Terbaik dengan wang tunai RM5,000. -BeruangDiRimba-

Sumber dari Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan