2 Disember 2015

Setelah 17 tahun mengabdikan karier lakonannya di bawah MIG, akhirnya aktor ini buat keputusan untuk tidak lagi bersama MIG




SETELAH 17 tahun mengabdikan karier lakonannya di bawah naungan syarikat ternama MIG, akhirnya aktor Farid Kamil, 34, mengambil kata putus untuk tidak lagi bersama produksi tersebut. Farid yang baru sahaja dikurniakan anak kedua, Nur Aurora pada 19 November lalu menjelaskan, keputusannya mengakhiri kontrak bersama syarikat milik David Teo itu adalah tepat memandangkan tanggungjawabnya yang semakin bertambah. Katanya yang ditemui baru-baru ini, dia baru sahaja menubuhkan syarikat sendiri yang dinamakan Skygate One Sdn. Bhd., dan berharap hasratnya untuk menjadi pembikin filem dapat direalisasikan. “Sudah lama saya berkhidmat dengan MIG.

Tiba masanya saya mengorak langkah sendiri terutama selepas penubuhan Skygate One. Bagaimanapun, saya masih perlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada David yang selama ini banyak membantu menaikkan karier saya. “Mungkin ada projek yang membolehkan kedua-dua syarikat ini bekerjasama. Mengikut perancangan, pada tahun hadapan saya akan fokus dalam bidang penerbitan dan pengarahan. Jadi, mudah untuk saya melakukan kolaborasi dengan MIG andainya David sudi. “Tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga juga bertambah dengan kelahiran anak kedua.

Wajarlah kiranya saya merancang sesuatu yang lebih besar demi masa depan yang lebih baik buat kami sekeluarga,” beritahu suami kepada aktres Diana Danielle itu. Pada masa yang sama, pelakon filem Langit Cinta itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga kerja MIG yang selama ini banyak membantunya terutama David kerana mempercayai bakat lakonannya. Farid menambah, dia tidak mahu selamanya bergantung harap dengan titik peluh sebagai pelakon, sedangkan mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang perfileman. Justeru, aktor tinggi lampai itu mahu mempraktikkan segala yang dipelajarinya dahulu dalam memastikan portfolio seninya dapat dikembangkan ke satu tahap yang lebih tinggi dari sekarang. “Buat masa ni, saya mahu fokus menjaga anak saya yang baru dilahirkan sementara menunggu Diana habis berpantang,” katanya ketika hadir ke majlis pelancaran filem Langit Cinta, arahan Osman Ali yang bakal ditayangkan pada 7 Januari hadapan.
-Sumber dari Utusan-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan