KUALA LUMPUR - Felda United membuktikan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak kebal di Larkin apabila mengejutkan juara Liga Super, Piala AFC dan Piala Sumbangsih itu 2-1 dalam suku akhir kedua Piala Malaysia semalam, sekali gus layak ke separuh akhir menerusi agregat 3-2. Jaringan Zah Rahan Krangar pada minit ke-76 meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan dalam 40 perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, kejayaan yang disifatkan pengendali The Fighters, Irfan Bakti Abu Salim sebagai pencapaian paling membanggakan sepanjang kariernya.
Kemenangan tersebut, sekali gus menemukan Felda dengan juara empat kali, Kedah yang mara selepas menyingkirkan PKNS menerusi agregat 4-2 setelah menang 3-1 di Selayang. Satu lagi separuh akhir akan menemukan dua gergasi bola sepak tempatan, iaitu juara 32 kali, Selangor dan juara bertahan dua tahun berturut-turut, Pahang.
Tumpuan peminat bola sepak tanah air semalam terarah kepada aksi di Larkin, yang menyaksikan Felda langsung tidak gentar berdepan pasukan terbaik Liga Malaysia ketika ini dan beraksi pula di stadium keramat mereka. The Fighters bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi sepakan penalti Thiago Fernandes gara-gara bola terkena tangan Hariss Harun.
Kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim memberi harapan kepada penyokong tuan rumah apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-50, namun gol cantik Zah Rahan yang melambung bola melepasi Farizal Marlias menghancurkan rekod tanpa kalah JDT di laman sendiri sejak September 2013.
“Strategi permainan kami menjadi malam ini, yang mana kami menunggu, menunggu dan menyerang. Alhamdulillah, kami dapat ke separuh akhir. “Bukan mudah mengalahkan JDT yang merupakan juara Piala AFC. Saya bangga dengan anak-anak buah saya walaupun dalam keadaan keletihan, sama-sama letih. Mereka mempamer semangat juang tinggi,” kata Irfan.
Sumber dari - Utusan -
Xkan sebab tu je admin?
BalasPadam